BicaraTHTL
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

SOLAD EID HARI JUMAAT...SOLAT ZUHUR TIDAK WAJIB?

Go down

SOLAD EID HARI JUMAAT...SOLAT ZUHUR TIDAK WAJIB? Empty SOLAD EID HARI JUMAAT...SOLAT ZUHUR TIDAK WAJIB?

Post by Abu_Imran Mon Oct 22, 2012 9:04 am

assalamualaikom....

jika solat eid pada pagi jumaat... ana maklum berkenaan status solat jumaat bagi mereka org awam yg sudah menunaikan solat eid...

ana cume nak tau adakah solat zuhur juga sama hukumnya seperti solat jumaat?

ana memahami bahawa solat jumaat yg tidak lagi wajib kerana dihimpunkan dua eid pada hari yang sama...bukan kerasa musafir...yang mana jika musafir , solat jumaat tidak wajib tetapi masih wajib solat zuhur...
Abu_Imran
Abu_Imran
AHLI
AHLI

Posts : 94
Points : 125
Join date : 26/11/2011
Age : 42
Location : Putrajaya

Back to top Go down

SOLAD EID HARI JUMAAT...SOLAT ZUHUR TIDAK WAJIB? Empty Re: SOLAD EID HARI JUMAAT...SOLAT ZUHUR TIDAK WAJIB?

Post by Abu_Imran Mon Oct 22, 2012 10:42 am

Dah dapat jawapan....

Ada 4 pandangan yg ujud... tetapi 2 pandangan yg lebih kuat...

pandangan pertama yg cenderung kepada pendapat imam ah
mad

HUKUM SOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA
Thursday, September 09, 2010 (16:39:54)

Posted by abuadif

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada 'Idul Fitri mahupun 'Idul Adha. Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al A`immah karya Imam Sadr al-Din Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Rahman Ad Dimasyqi al-Syafi’iy, disebutkan bahawa :

“Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih, bahawa solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kampung yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi orang yang datang dari kampung lain, gugur Jumaatnya. Demikian menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih. Maka jika mereka telah solat hari raya, boleh bagi mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung wajib solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun orang yang ditempati solat Jumaat. Kewajiban solat Jumaat gugur sebab mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Menurut ‘Atha`, Zuhur dan Jumaat gugur bersama-sama pada hari itu. Maka tidak ada solat sesudah solat hari raya selain solat Asar.”

Ad Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan pendapat Imam Malik sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Disebutkannya bahawa,“Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat,”Jika berkumpul hari raya dan Jumaat, maka mukallaf dituntut untuk melaksanakannya semuanya….”

Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa dalam masalah ini terdapat empat pendapat :

Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka diselenggarakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung atau padang gurun (ahlul badaawi / ahlul ‘aaliyah), yang di tempatnya itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung — telah solat hari raya, boleh mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang ditempati solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun bagi orang yang ditempati solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabbah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubayr dan ‘Ali.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat yang rajih (kuat) adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, rahimahullah. Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum Pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya -yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat- gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. Antara dalilnya adalah hadith Zayd bin Arqam r.a. bahawa dia berkata : “Nabi SAW melaksanakan solat Ied (pada suatu hari Jumaat) kemudian beliau memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumat. Kemudian Nabi berkata, “Barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah dia solat.” (HR. Al Khamsah, kecuali At Tirmidzi. Hadith ini menurut Ibnu Khuzaimah,sahih).

Hukum Kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadith Abu Hurayrah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahwa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum Ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur.

Hukum Keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.

Walaubagaimanapun penulis berpandangan, bagi keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal untuk tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut bagi sesiapa yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid. Realiti atau waqi’ juga cenderung kepada kewajipan menunaikan solat Jumaat berdasarkan kemudahan untuk menemui masjid di mana sahaja kita berada di samping kemudahan lain seperti kenderaan. Wallahu a’lam.

Sumber: Mufakkir Islami

pandangan kedua yang cenderung dgn pendapat imam syafie

SOLAT JUMAAT DI HARI RAYA

Seorang teman mengajukan soalan ini kepada saya:Tahun ini, hari raya jatuh pada hari jumaat. Apakah gugur kewajiban solat jumaat bagi orang yang menghadiri solat ied? Apa pendapat anta?

Belum sempat saya menjawab, ternyata telah banyak orang yang menjawab soalan ini, ada juga yang men-tag-nya di facebook. Saya melihat kebanyakan jawaban ini cenderung kepada pendapat yang mengatakan gugur kewajiban jumaat bagi orang yang menghadiri solat ied kecuali imam. Seorang Imam [pemimpin masyarakat] tetap berkewajiban mendirikan solat jumaat. Jika kebetulan bilangan jamaah yang hadir untuk solat jumaat tidak mencukupi, maka cukup melaksanakan solat zuhur.

Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Ahmad bin Hanbal dan didukung oleh fuqaha Hanabilah seperti Syeikhul Islam Ibn Taymiah, dan difatwakan oleh beberapa tokoh belakangan ini. Bagi saya, kesimpulan ini masih terbuka untuk diskusi lebih mendalam.

Kita mulai dengan kesepakatan

Satu hal yang mesti diketahui dan disepakati adalah : kewajiban solat jumaat berasal daripada nas syarak yang qat’iy, iaitu firman Allah dalam Al-Qur’an surah Al-Jumuah ayat 9. Dan kewajiban yang datang seperti ini tidak boleh dicabut begitu sahaja kecuali dengan dalil yang benar-benar kuat.

soalannya sekarang, apakah dalil-dalil yang menggugurkan solat jumaat sekuat itu sehingga dapat mentakhsis [apalagi menasakh] hukum yang telah ditetapkan Al-Qur’an?

Jawaban untuk soalan ini menurut mazhab hanafi sangat jelas dan pasti, iaitu negatif. Sebab, bagi mereka, hadis ahad meskipun sahih tidak boleh mentakhsis ayat Al-Qur’an. Sebab takhsis adalah nasakh juz'ie.Dan bagi orang-orang yang membolehkan takhsis Al-Qur’an dengan hadis ahad, seperti Assyafiiah dan ahli hadis, mereka mensyaratkan kesahihan hadis tersebut agar dapat diterima sebagai mukhassis.

Nah, soalan berikutnya: adakah hadis-hadis yang menggugurkan solat jumaat ini benar-benar sahih sehingga boleh diterima isinya sebagai pentakhsis keumuman yang terdapat di dalam ayat 9 surah Al-Jumuah?

Kajian Hadis

Sejauh kajian saya, semua hadis-hadis itu kebanyakannya lemah dan tidak cukup kuat untuk mengangkat kewajiban jumaat yang ditetapkan oleh al-Qur’an. Hadis Abu Dawud dan Ibn Majah dari Iyas bin Abi Ramlah dari Zaid bin Arqam lemah karena perawinya [iaitu Iyas bin Abi Ramlah] majhul.

Begitu juga hadis Abu Dawud dari Abu Hurairah bahwa Nabi Saw bersabda, “Telah berhimpun dua raya pada hari ini. Barangsiapa yang berkehendak, maka [solat ied] ini telah mencukupi daripada [kewajiban] solat jumaat. Sementara kami [Nabi saw] akan melaksanakan solat jumaat.” Hadis ini lemah karena perawinya yang bernama Baqiyyah bin al-Walid seorang yang terkenal dhaif. Lagipula, riwayat ini bertentangan dengan riwayat Sufyan al-Tsauri dan Hammad bin Zaid dari Abdul Aziz bin Rafie yang memursalkannya. Dan riwayat yang mursal inilah yang benar sebagaimana disahihkan oleh Imam Al-Daruqutni. Lihat penjelasan Al-Hafiz Ibn Hajar dalam “Talkhis Al-Habir”.

Hadis Sahih

Hadis sahih tentang hal ini tidak berasal daripada Nabi Saw, melainkan berasal daripada ucapan Sayyidina Usman bin Affan dan perbuatan Ibn Zubeir yang diperakui oleh Ibn Abbas.

Ucapan Sayyidina Usman diriwayatkan oleh Al-Bukhari [5572] :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدِ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِى فَلْيَنْتَظِرْ ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ

“Wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun dua raya. Maka barangsiapa yang hendak menunggu jumaat daripada ahli ‘awalimaka tunggulah. Dan barangsiapa yang ingin pulang, maka aku izinkan baginya.”

Jelas sekali, ucapan Sayyidina Usman ini tidak ditujukan kepada ahli Madinah, melainkan kepada orang-orang yang datang dari luar Madinah [‘Awali jauhnya melebihi 3 mil daripada Madinah]. Mereka telah meninggalkan rumah sejak pagi untuk menghadiri solat Ied, dengan fasiliti pengangkutan yang sangat sederhana, maka merupakan perkara yang sangat berat bagi mereka jika harus menunggu hingga solat jumaat selesai agar dapat kembali ke rumah masing-masing. Itu sebabnya Khalifah Usman memberi keringanan [rukhsah] khas bagi mereka, bukan bagi penduduk Madinah yang berdekatan dengan masjid.

Imam Al-Syafii sangat memahami konteks ucapan ini. Beliau lalu menyimpulkan bahawa dalam kes perhimpunan dua raya seperti ini, maka hanya orang-orang yang jauh daripada masjid sahaja yang diperbolehkan meninggalkan jumaat setelah melaksanakan solat hari raya. Beliau berkata di Al-Umm 1/274:

وإذا كان يوم الفطر يوم الجمعة صلى الامام العيد حين تحل الصلاة ثم أذن لمن حضره من غير أهل المصر في أن ينصرفوا إن شاءوا إلى أهليهم ولا يعودون إلى الجمعة والاختيار لهم أن يقيموا حتى يجمعوا أو يعودوا بعد انصرافهم إن قدروا حتى يجمعوا وإن لم يفعلوا فلا حرج إن شاء الله تعالى (قال الشافعي) ولا يجوز هذا لاحد من اهل المصر أن يدعوا أن يجمعوا إلا من عذر يجوز لهم به ترك الجمعة وإن كان يوم عيد

Hadis Ibn Zubeir

Adapun hadis Ibn Zubeir, maka Abu Dawud dan Ibn Khuzaimah meriwayatkannya dari Atha bin Abi Rabah katanya:

صَلَّى بِنَا ابْنُ الزُّبَيْرِ فِى يَوْمِ عِيدٍ فِى يَوْمِ جُمُعَةٍ أَوَّلَ النَّهَارِ ثُمَّ رُحْنَا إِلَى الْجُمُعَةِ فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْنَا فَصَلَّيْنَا وُحْدَانًا . وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالطَّائِفِ فَلَمَّا قَدِمَ ذَكَرْنَا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ : أَصَابَ السُّنَّةَ.

Sanad hadis ini dinilai oleh Imam Al-Nawawi dalam “Majmuk” sebagai hasan atau sahih sesuai syarat Muslim. Namun begitu, saya melihat ini adalah pendapat pribadi Ibn Zubeir. Meskipun Ibn Abbas menyebutnya sebagai “sesuai sunnah”, kita tidak tahu maksud beliau dengan sunnah ini. Apakah sunnah Nabi Saw ataukah sunnah khulafa? Demikian soalan yang diajukan oleh Ibn Khuzaimah dalam sahih-nya.

Andai kita menerima bahwa sunnah yang dimaksudkan oleh Ibn Abbas adalah sunnah Nabi Saw, hadis ini tetap mengandungi banyak masalah sehingga tidak dapat menjadi dalil bagi pendukung mazhab hanbali. Sebab mereka berpendapat bahawa Imam tetap wajib melaksanakan solat jumaat, sementara Ibn Zubeir dalam hadis ini meninggalkan solat jumaat, bahkan solat zuhur sama sekali. Beliau tidak keluar melainkan pada waktu asar sebagaimana riwayat lain daripada Atha bin Abi Rabah dalam Sunan Abi Dawud.

Mengulas perbuatan Ibn Zubeir dan riwayat Atha ini, Al-Hafiz Ibn Abdil Bar berkata dalam “Al-Istizkar”:

أما فعل ابن الزبير وما نقله عطاء من ذلك وأفتى به - على أنه قد اختلف عنه - فلا وجه فيه عند جماعة الفقهاء . وهو عندهم خطأ إن كان على ظاهره . لأن الفرض من صلاة الجمعة لا يسقط بإقامة السنة في العيد عند أحد من أهل العلم .

“Adapun perbuatan Ibn Zubeir, dan yang dinukil daripada fatwa Atha [meskipun diperselisihkan riwayat tentang hal ini] maka ianya tidak berasas menurut majority fuqaha. Menurut mereka, ini sebuah kesalahan jika diterima secara zahirnya. Sebab kewajiban solat jumaat tidak gugur karena pelaksanaan sebuah ibadah sunnah menurut semua ulama.”

Setelah diskusi di atas, apa yang dapat kita simpulkan?

Bagi saya, kewajiban jumaat sesuatu yang sangat penting dan disyariatkan melalui jalur qat’iy yang tidak dapat ditinggalkan kecuali dengan dalil yang sama kuat dengannya. Atau paling tidak, dengan dalil yang benar-benar sahih tanpa perselisihan di dalam jalur riwayat dan madlul-nya. Dan jelas sekali, hadis-hadis tentang pengguguran solat jumaat setelah melaksanakan solat ied tidak mencukupi syarat-syarattersebut.

Itu sebabnya jumhur ulama dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki dan Syafii tetap mewajibkan solat jumaat tersebut bagi orang yang tidak memiliki sembarang uzur syar’ie.

Wallahu a’lam.

Umar Muhammad Noor
B.A Usuluddin (Tafsir-Hadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan M.A Usuluddin (Hadis) di Unversiti Omm Durman, Sudan. Menimba ilmu hadis di Damaskus Syria, sejak tahun 2002 hingga 2007
Abu_Imran
Abu_Imran
AHLI
AHLI

Posts : 94
Points : 125
Join date : 26/11/2011
Age : 42
Location : Putrajaya

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum